Jan 3, 2008

Kenapa Kita Perlu Menghafaz Al-Quran?

Ditulis oleh Sallehuddin Ishak, Glasgow

Tuesday, 01 August 2006

Cuba tanyakan kepada diri kita sendiri, ‘Kenapa saya harus menghafaz al-Quraan?’. Kemudian tanya pula mereka yang arif dalam soal motivasi diri, ‘bagaimanakah cara untuk berjaya mencapai cita-cita?’ dan ‘Kenapa pula ada orang yang ‘mati celik?’.

Mungkin ada pakar motivasi menyarankan bahawa orang-orang berjaya adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalam diri dan mempunyai ‘definite purpose’ dalam perjuangan hidup.

Apakah pula ‘definite purpose’ para penghafaz al-Quraan?. Adakah kerana mengikut 'trend' atau kerana budaya satu-satu bangsa (terutamanya bangsa Arab)?

Adakah kerana sekeping sijil atau kerana salah satu syarat untuk memperoleh kelulusan akademik?. Mungkinkah juga bagi mencapai cita-cita untuk menjadi imam yang tersohor atau untuk digelar orang sebagai al-Hafiz, al-Qari’ wal-Muqri'?.

Tanyakan diri kita sendiri, dari mana asalnya gelaran-gelaran tersebut? Adakah bersumberkan nas-nas yang sahih?, Adakah gelaran-gelaran tersebut telah wujud di zaman Rasul SAW, Sahabat dan Tabi-ein?

Untuk mengimbau cita-cita para huffaz, cuba lihat nas-nas berikut:

NAS-NAS KUMPULAN 1

وعن أبي موسى رضي اللَّه عنه قال : قال رسول اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم : « إِنَّ مِنْ إِجْلالِ اللَّهِ تعالى إِكْرَامَ ذى الشَّيْبةِ المُسْلِمِ ، وَحَامِلِ الْقُرآنِ غَيْرِ الْغَالي فِيهِ ، والجَافي عَنْهُ وإِكْرَامَ ذِي السُّلْطَانِ المُقْسِطِ » حديثٌ حسنٌ رواه أبو داود .

Dari Abu Musa (lah.A) meriwayatkan bahawa RasulAllah S.A.W bersabda, “antara orang-orang yang dimuliakan oleh Allah ialah orang tua Muslim, penghafaz al-Quraan yang tidak membuat silap; dan seseorang yang apabila diberi kuasa dia berlaku adil” ; Nota : perkataan ‘ghairu ghali’ boleh diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai ‘not aggressive when putting into practice and not taking shelter of far-fetched interpretations to justify own intellectual and religious perversion’

وعن جابرٍ رضي اللَّهُ عنه أَنَّ النبي صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم كَانَ يَجْمَعُ بيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ يَعْني في القَبْرِ ، ثُمَّ يَقُولُ : « أَيُّهُما أَكْثَرُ أَخْذاً لِلْقُرْآنِ ؟ » فَإِذَا أُشِيرَ لَهُ إلى أَحَدِهِمَا قَدَّمَهُ في اللَّحْدِ . رواه البخاريُّ

Jaabir (lah.A) meriwayatkan bahawa, selepas peperangan Uhud, ketika sedang mengaturkan susunan kedudukan di dalam liang lahad bagi dua jenazah tentera yang syahid, RasulAllah S.A.W bertanya kepada para Sahabat, “siapakah di kalangan mereka ini yang lebih banyak hafazan al-Quraannya?”. Mana-mana yang dikenal pasti sebagai lebih lebih hafiz akan disemadikan terlebih dahulu .

NAS-NAS KUMPULAN 2

Siapakah Ibn ‘Abbas?. Namanya Abdullah bin ‘Abbas bin ‘Abdul Mutalib. Beliau ialah sepupu RasulAllah S.A.W. Ketika beliau dilahirkan, RasulAllah S.A.W. berdoa supaya Allah mengurniakan bayi tersebut tiga perkara iaitu supaya (1) menjadi seorang yang faqih-fi-ddin, (2) diajarkan oleh Allah mengenai ‘ta’weel’ al-Quraan, dan (3) ditunjukkan kepadanya ‘sirat al-mustaqeem’. Selepas RasulAllah S.A.W. wafat beliau telah menjadi pakar rujuk kepada semua sahabat termasuk Khulafa’ al-Rasyideen. Oleh kerana faqihnya beliau dalam hukum-hakam dan tersangat tinggi kefahamannya mengenai ‘ta’weel’ al-Quraan, beliau banyak menegur tafsiran-tafsiran al-Quraan yang tidak tepat yang dilakukan oleh para Sahabat dan Tabi-een. Ibn ‘Abbas dianggap oleh para Sahabat sebagai lautan ilmu. Sekiranya kita meneliti latar belakang para ulama’ yang masyhur, sama juga seperti Ibn ‘Abbas, tiada seorangpun daripada mereka yang tidak menghafaz al-Quraan. Pendek kata, tidak sempurna kefaqihan seseorang tanpa menghafaz al-Quraan.

NAS-NAS KUMPULAN 3

Dalam ayat Aali-'Imraan, ayat no. 146, Allah SWT menyatakan bahawa ramai daripada mereka yang berperang bersama-sama para nabi adalah yang bersifat ‘Rabbaniyy’. Di tempat lain, di surah yang sama pada ayat no. 79, Allah SWT menjelaskan bahawa antara tugas para Rasul ialah untuk menyeru manusia supaya masuk ke dalam golongan ‘Rabbaniyyun’ - iaitu dengan cara mempelajari belajar ‘Kitab Allah’. Dalam konteks yang sama tetapi daripada perspektif yang berbeza, jika kita tinjau sejarah Islam, rata-rata para sejarawan bersetuju bahawa inisiatif pengumpulan dan penulisan al-Quraan adalah berpunca daripada kebimbangan para Sahabat terhadap ramainya penghafaz al-Quraan yang gugur syahid dalam peperangan-peperangan, sama ada di zaman Rasul S.A.W. atau selepasnya. Hatta di zaman kita hari inipun, ramai daripada ulama’ yang gugur syahid adalah terdiri daripada penghafaz al-Quraan. Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan Sheikh Ahmed Ismail Yassin hanyalah sebahagian daripada contoh. Ringkasnya, sejarah mengisyaratkan bahawa terdapat kaitan yang rapat antara menghafaz al-Quraan dan peluang untuk mati syahid.

NAS KUMPULAN 4

عن عبدِ اللَّهِ بنِ عَمْرو بن العاصِ رضي اللَّه عَنهما عنِ النبيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قال : « يُقَالُ لِصاحبِ الْقُرَآنِ : اقْرأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَما كُنْتَ تُرَتِّلُ في الدُّنْيَا ، فَإنَّ منْزِلَتَكَ عِنْد آخِرِ آيةٍ تَقْرَؤُهَا » رواه أبو داود ، والترْمذي وقال : حديث حسن صحيح .

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As, RasulAllah (SAW) bersabda, ‘pada hari kiamat nanti, Sahibul-Quraan akan diperintahkan oleh Allah dengan “bacalah dan naiklah darjat kamu dan bacalah ia sebagaimana kamu membacanya di dunia. Darjat kamu akan ditentukan pada ayat terakhir kamu mampu membacanya”…’

KESIMPULAN

Daripada nas-nas al-Quraan, hadith, seerah dan dan sejarah sekurang-kurang ada empat ‘definite purpose’ yang yang menjadi motivasi untuk mendorong generasi terdahulu untuk menghafaz al-Quraan, iaitu:

PERTAMA – Dimuliakan oleh Allah semasa masih hidup lagi sehinggalah kepada penentuan kedudukan di dalam liang lahad;

KEDUA – Sebagai syarat kesempurnaan untuk kefaqihan dalam soal-soal agama;

KETIGA – Bagi mendekatkan diri kepada peluang untuk mati syahid;

KEEMPAT – Sebagai persediaan untuk menyahut perintah Allah supaya membaca al-Quraan di Padang Mahsyar nanti.


Sallehuddin Ishak, Glasgow

http://www.alkis.orang.my/v3/index.php?option=com_content&task=view&id=68&Itemid=2

No comments: